KUCHING, 28 Okt: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) berkembang melangkaui tumpuan tradisionalnya, iaitu ukur kadaster dan kini sedang meneroka bidang kepakaran baharu seperti tinjauan utiliti dan ukur kejuruteraan.
Pengarahnya, Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, perkara ini mampu dilakukan dengan kelulusan pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Ordinan Juruukur Tanah, 2001 (Cap. 40).
“JTS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak kerana telah meluluskan pindaan Ordinan Juruukur Tanah, 2001, termasuk semakan skala bayaran yang dikenakan oleh juruukur tanah untuk perkhidmatan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-20 Land Surveyor Board Sarawak di sini, malam tadi.
Majlis tersebut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh.
Mengulas lanjut, kata Awang Zamhari, penerokaan bidang baharu dan menarik seperti bidang penangkapan karbon, spektrum ruang udara dan kadaster marin merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk perkembangan inovasi dan pertumbuhan agenda kepelbagaian.
“Ini adalah selaras dengan pindaan baru-baru ini kepada Kanun Tanah Sarawak oleh kerajaan negeri yang dibuat di bawah Ordinan Kanun Tanah (Pindaan), 2022 yang memperuntukkan kawal selia dan pengawalan penggunaan tanah untuk simpanan karbon sama ada di atas atau di bawah muka bumi, termasuk mengawal selia dan mengawal penggunaan ruang udara di atas tanah,” ujarnya. – TVS