SIBU, 29 Okt: Ibu bapa perlu sentiasa mengambil maklum mengenai kemunculan industri baharu dan peluang kerjaya yang akan membentuk tenaga kerja masa hadapan terutamanya dalam menghadapi dunia yang sedang berkembang pesat pada masa kini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sebagai contoh, sektor semikonduktor merupakan salah satu industri yang memainkan peranan penting dalam pasaran baharu dan menawarkan gaji kompetitif antara RM4,000 hingga RM6,000.
“Sektor seperti semikonduktor, teknologi, kejuruteraan, dan bidang lain di bawah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berkembang pesat, menawarkan ketara peluang untuk kejayaan kerjaya jangka panjang.
“Kami akan memulakan pendidikan tinggi secara percuma untuk semua kursus STEM atau kursus berkaitan STEM selaras dengan inisiatif pendidikan percuma Kerajaan Sarawak pada 2026,” katanya ketika berucap menutup program IC Design Make-A-Thon 2024, di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Dr Annuar yang juga Pengerusi UTS berkata, beliau turut menekankan kepentingan menyelaraskan kursus di universiti dengan tuntutan industri berasaskan teknologi dalam usaha mewujudkan peluang kerjaya yang mampan.
“Selain itu, kita tidak seharusnya mewujudkan kursus yang mungkin akan meningkatkan kadar pengangguran kerana jika kita berbuat begitu, akan lebih banyak kursus sedemikian yang tidak mempunyai permintaan dalam pasaran atau industri.
“Satu lagi, kita mungkin mencipta harapan palsu bukan sahaja kepada ibu bapa dan pelajar, tetapi juga kepada pihak berkepentingan yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, dalam program itu, pasukan Electrocak yang diwakili Tiong Wei Jie dan Ki Hui Yee dari UTS, bersama-sama Tiffany Jun Mckenzie dan Nur Aleesya Dayana Mohamad Salim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka telah dinobatkan sebagai juara dan pasukan itu bakal menerima hadiah wang tunai pada Grand Finale di Kuching, 3 November depan.
Naib juara pula dirangkul pasukan LP yang menampilkan Risu Manuel Frankie Deria dan Maiwarda Safidi dari UTS, bersama-sama Ho Nyet Wei dan Fong Yu Chen dari SMK Deshon.
Tempat ketiga menjadi milik pasukan The Dragon Warriors yang diwakili Vincent Tiong Yong Han dari UTS, disertai Reiko Wong Ke Shin dan Gabriella Vanessa Usu Sylvester Jigom dari SMK Rosli Dhoby.
Antara lain, Anugerah The People’s Choice dianugerahkan kepada Pasukan Alligator of Innovation, yang terdiri daripada Tiong Jiing Bin dan Chiu Siew Chin dari UTS serta Elyiana Ummie Deris dan Willexsly Willismo dari SMK Durin.
Acara tiga hari tersebut menampilkan penyertaan seramai 40 orang pelajar yang membentuk 10 pasukan, dengan penyertaan peserta dari UTS dan 10 buah sekolah menengah bertujuan mempromosikan industri semikonduktor khususnya reka bentuk litar bersepadu (IC), selain turut menambah baik pendidikan STEM di sekolah dan universiti.
IC Design Make-A-Thon 2024 anjuran SMD Semiconductor dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), Chumbaka dan UTS itu akan diteruskan lagi di Kuching bermula 1 hingga 3 November ini. -TVS