SIBU, 29 Okt: Dua buah kereta yang di parkir di sebuah kediaman di Lorong Lilin di sini, terbakar awal pagi.
Komander Operasi, Mohd Faizal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 5.36 pagi dengan menggerakkan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan dua buah kereta iaitu kereta Honda City dan Proton Saga telah terbakar di ruang parkir rumah tersebut.
“Kereta Honda City terbakar keseluruhan manakala Proton Saga terbakar 40 peratus dan melibatkan struktur bangunan lima peratus hanya menjejaskan tempat pakir kereta, pintu cermin rumah dan dinding rumah kesan dari bahang kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba menggunakan dua pancutan 200 kaki pam sumber air dari pili bomba media pemadaman menggunakan foam untuk memadamkan kebakaran dengan kaedah offensive.
“Setelah api berjaya dipadamkan serta tiada tercetus kebakaran semula pasukan bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. -TVS