KUCHING, 29 Okt: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak mengenal pasti 349 kawasan kerap banjir di Sarawak pada Monsun Timur Laut (MTL).
Pemangku Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii berkata, dari segi pemantauan pihaknya akan memfokuskan kawasan berkenaan bagi memastikan operasi bantuan dapat dilaksanakan lebih cekap.
“Mungkin dari segi jumlah ini tak sama dengan jumlah yang akan diberitahu oleh agensi lain sebab kita berdasarkan lokasi-lokasi yang kerap berlakunya banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Libat Urus Ketua-Ketua Zon dan Ketua-Ketua Balai Tahun 2024 di Padang Kawad Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JBPM Sarawak kini bersiap sedia menghadapi MTL yang dijangka bermula pada bulan November 2024 hingga Januari 2025.
Ling Hii berkata seluruh aset dan juga kekuatan anggota yang mencukupi telah disediakan dalam memastikan seluruh 38 balai bomba di Sarawak bersedia menghadapi MTL terutama bencana banjir.