KUCHING, 28 Oktober: Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan terus memastikan peruntukan yang diperlukan oleh rumah ibadat sentiasa diberi perhatian.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, UNIFOR yang ditubuhkan sejak 2017 akan mempergiat dan meneruskan usaha menjadi pemudahcara urusan agama di Sarawak.
Menurutnya, penyerahan geran pembangunan bernilai RM1 juta kepada Gereja Saint Peter di Padungan membuktikan komitmen UNIFOR untuk memudahkan pembangunan fizikal dan peningkatan rumah ibadat.
“Gereja yang begitu indah bukan sahaja mempunyai estetika yang menarik untuk ditatap, malah ia turut menceritakan tentang sejarah kita dan jika anda perhatikan di sekeliling anda, ia turut merekodkan sejarah dan budaya kita yang diabadikan menerusi ukiran kaca stain yang ada di gereja ini.
“Kaca stain ini amat unik kerana saya percaya hanya ada satu atau dua gereja yang mempunyai kaca stain yang dihasilkan oleh mahaguru kaca Itali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek RM1 juta kepada Rektor Gereja Saint Peter, Reverend Father Peter Chin, di sini pada Isnin.
Tambah Dr. Sim, pihak gereja turut memerlukan RM12 juta lagi bagi menampung kos penyelenggaraan gereja dan beliau menyeru badan korporat serta orang ramai tampil membantu tujuan murni tersebut.
Setakat ini, jumlah dana terkumpul hasil peruntukkan daripada Kerajaan Sarawak dan sumbangan orang ramai adalah sebanyak RM26 juta.
Untuk rekod, kos keseluruhan pembinaan Gereja Saint Peter Padungan ini berjumlah RM38 juta dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada 29 Jun 2025.
Sehingga kini, UNIFOR menjadi perantara kepada lebih 2,453 rumah ibadat di seluruh Sarawak terutama dalam memastikan aspek yang melibatkan kebajikan, penambaikan infrastruktur serta lain-lain keperluan di wilayah ini terjaga. -TVS