KUCHING, 28 Okt: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi bot karam semasa sesi latihan Sarawak Regatta baru-baru ini.
“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya.
“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan syuhada,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Dalam masa sama, Tun Wan Junaidi juga ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas usaha mereka mencari lima mangsa yang lemas dalam satu insiden pada 18 Oktober lalu.
Tun turut menekankan kepentingan aspek keselamatan untuk semua peserta Sarawak Regatta pada masa hadapan.
“Adalah amat penting bagi para peserta untuk memastikan adanya pengiring keselamatan dan pemantauan sewajarnya dari pihak berwajib sepanjang latihan dan perlumbaan, bagi mengelakkan kejadian malang seperti ini daripada berulang lagi,” katanya.
Dalam insiden itu, mereka yang terkorban – Mohamad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, berusia antara 22 hingga 35 tahun.