KUCHING, 28 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Upacara Perasmian Sukan SEA 2027 akan dilangsungkan di Kuching.
Beliau berkata, perkara tersebut sudah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri tanya saya, bolehkan sama-sama menganjurkan Sukan SEA 2027?
“Saya pun bertanya berapa kos jika Sarawak tanggung 50 peratus dan jika boleh perasmian diadakan di Sarawak.
“Jadi Perdana Menteri setuju,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching malam tadi.
Abang Johari berkata, persetujuan menjadi tuan rumah temasya sukan tersebut sebagai satu pelaburan.
“Sudah tentu ramai atlet negara rantau Asia Tenggara akan datang ke Sarawak.
“Mudah-mudahan pada waktu itu nanti, Sarawak sudah ada syarikat penerbangan sendiri,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, pada penganjuran SUKMA 2024, Sarawak berada pada kelas tersendiri dalam penganjuran sukan.
“Ia (SUKMA) menjadi bukti wilayah ini mampu diberikan kepercayaan dalam menganjurkan acara besar selain mempunyai kemudahan sukan cukup baik,” jelasnya.
Lebih manis lagi, Sarawak menjuarai SUKMA ke-21 selepas memperoleh 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.
Ia merupakan kali keempat Sarawak muncul juara selepas menanti 30 tahun.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.-TVS