BAU, 28 Okt: Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Penrissen (PKKAT Penrissen) telah mengadakan pemeriksaan pergigian dan ceramah pergigian bagi mengenal pasti tahap kesihatan dan cara penjagaan kesihatan mulut orang awam dan kanak-
kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sarabak, Kampung Serikin di sini, semalam.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Division berkata, pemeriksaan pergigian itu telah menerima kedatangan penduduk kampung sekitar seramai 60 orang melibatkan lima orang membuat cabutan gigi dan 55 pemeriksaan awal pergigian.
“Hasil usaha dan kerjasama antara anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan penduduk kampung, pemeriksaan pergigian, rawatan dan ceramah pergigian telah berjalan dengan lancar dan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan pergigian terdiri daripada seorang pegawai dan tiga anggota iaitu Lt Kol (Dr) Mohd Hosni Mahmood, PW II Muntaz Asbie, SSjn Siti Shuhaida Mohd Yunus dan Pbt Mohd Haizal Resdi.
Katanya, program rawatan ini merupakan salah satu usaha Jabatan Pergigian PKKAT Penrissen untuk mendekati dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Tentera Darat dengan masyarakat setempat di Kampung Serikin, selain turut memberi imej positif kepada warga tentera.
Sehubungan itu, Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Sauffi Omar merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggotanya yang berjaya melaksanakan program rawatan tersebut.
TDM akan terus komited dan sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang erat dengan masyarakat.-TVS