KUCHING, 28 Oktober: Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2024 dilihat sebagai wadah mengukuhkan keharmonian selain merancakkan segmen pelancongan di wilayah ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, selain bertanding merebut kejuaraan, perlumbaan bot naga turut menyelitkan unsur silang budaya antara negara yang secara tidak langsung mendidik serta mempromosi budaya dan warisan masyarakat tempatan kepada dunia luar.
“Perlumbaan bot naga ini merupakan aktiviti sukan air yang diperkenal serta dipopularkan di China sejak 2,000 tahun lalu dan kini ia merupakan salah satu sukan moden bertaraf antarabangsa.
“Pada hari ini, sukan lumba perahu naga ini bukan hanya disertai masyarakat China malah dirai serta disertai masyarakat seluruh dunia.
“Perlumbaan tahunan yang dianjurkan di Sarawak ini amat dinanti-nantikan oleh semua warga termasuklah pengkayuh veteran dan baharu. Acara berprestij ini turut membantu memperkenalkan Sarawak atau Bumi Kenyalang sebagai destinasi yang kaya dengan kepelbagaian warisan, budaya serta kulinari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2024 di Kuching pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan.
Sementara itu, Jetama Entulon Family Tuaran dari Sabah menjuarai Kategori Terbuka Premier Perahu Naga 20 (DB20) sementara Kategori Campuran Premier DB20 dimenangi Perahu Naga Universiti Hong Kong.
Kategori Terbuka Premier DB12 menyaksikan Perahu Naga Universiti Hong Kong muncul juara manakala Perahu Naga Kunshan China B memenangi Kategori Campuran Premier DB12.
Pasukan Latin Dragons dari Singapura memenangi Kategori Wanita Premier DB12.
Selain itu, Pasukan BSACxSIAM A dari Thailand memenangi piala kejuaraan Kategori Terbuka Masters Antarabangsa DB12.
Lebih 2,000 pengkayuh yang mewakili 61 pasukan dari 21 negara menyertai perlumbaan yang bermula 25 hingga 27 Oktober.-TVS