KUCHING, 28 Okt: Sarawak dilihat mampu menarik minat pelabur luar untuk menanam modal di wilayah ini menerusi sukan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berlandaskan kemampuan Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Malah menurutnya, Sarawak juga bakal menjadi penganjur bersama untuk Sukan SEA 2027 yang menghimpunkan atlet dari negara Asia Tenggara.
“Penganjuran SUKMA ke-21 merupakan satu pelaburan untuk anak muda kita dalam sukan.
“Kita mesti berani melabur dan ini merupakan pelaburan penting dalam membina anak muda yang mempunyai prestasi memberangsangkan. Kalau sukan mereka bagus maka hal lain juga bagus,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi SUKMA XXI di Kuching malam tadi.
Menurutnya, penganjuran SUKMA lepas menunjukkan kemampuan Sarawak melaksanakan amanah menjadi tuan rumah walaupun bukan mengikut giliran sepatutnya.
“Perasmian SUKMA 2024 luar biasa dan saya ucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa dan mereka yang terlibat.
“Semua orang bercakap mengenai perasmian. Malah ada yang menganggap perasmian SUKMA 2024 lebih bagus daripada Sukan Olimpik Paris, jadi kita sudah ada standard sendiri,” ujarnya.
Pada majlis tersebut juga Abang Johari turut merasmikan buku yang bertajuk ‘Road To Glory SUKMA XXI Sarawak’ mengisahkan mengenai Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024 -TVS