KUALA LUMPUR, 28 Okt: Perbincangan mengenai pengambilalihan MASwings antara Kerajaan Sarawak dan Malaysian Aviation Group (MAG) kini berada di peringkat akhir.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Perkembangan terkini mengenai perbincangan pemerolehan MASwings antara Kerajaan Sarawak dan MAG, ia kini berada di pecutan terakhir,” katanya bagi menjawab persoalan tambahan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, di sini.
Hasbi dalam pada itu optimis perkhidmatan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu nanti akan menangani isu kekurangan pesawat di negara ini.
Menurut beliau setakat ini, Malaysia hanya memiliki sebanyak 258 pesawat dan angka terbabit tidak mencukupi.
“Jika ada isu teknikal, selenggara dan sebagainya, sudah pasti ia menjejaskan operasi.
“Dengan adanya tambahan syarikat penerbangan ini, sudah pastinya ia akan meringankan beban ini,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata proses rundingan pengambilalihan masih lagi tertakluk kepada beberapa perkara yang melibatkan Kerajaan Sarawak dan Khazanah Nasional yang memiliki MAG. -TVS