KUALA LUMPUR, 28 Okt: Enrolmen murid dalam aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Sarawak menunjukkan trend peningkatan daripada 30.50 peratus pada 2022 kepada 34.66 peratus (2023).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata peningkatan ketara saban tahun ini direkodkan sejak pakej aliran berkenaan diperkenalkan pada tahun 2020.
“Sejak tahun 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menawarkan pilihan pakej mata pelajaran bidang STEM di peringkat menengah atas seperti Pakej STEM A, STEM B dan STEM C yang merangkumi mata pelajaran sains tulen, sains gunaan dan teknologi, serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pakej-pakej mata pelajaran ini disediakan bagi memberikan peluang kepada murid untuk memilih mata pelajaran yang bersesuaian mengikut kecenderungan, minat dan kebolehan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Kah Woh dalam pada itu menambah KPM komited untuk meningkatkan minat murid dalam STEM bagi menyediakan bakat dan tenaga kerja masa depan yang mencukupi selaras dengan keperluan dasar seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Dalam masa yang sama, KPM turut menggariskan beberapa langkah strategik bagi meningkatkan minat murid dalam bidang STEM seperti penubuhan Pusat Pendidikan STEM dan memperkenalkan Inquiry-Based Science Education (IBSE) dan Inquiry-Based Mathematics Education (IBME).
“Di Sarawak, seramai 1,534 orang guru telah menerima latihan dalam IBSE dan 44 orang guru telah menerima latihan dalam IBME.
“Malahan, sebuah hab STEM telah siap dibina di Pusat Kegiatan Guru Miri, Sarawak.
“Hab STEM ini bertujuan untuk menyediakan ruang kepada guru bidang STEM menjalankan aktiviti bersama komuniti pembelajaran profesional (PLC) setempat serta berkongsi amalan terbaik dalam penyampaian kurikulum STEM,” katanya.
Tambahnya, KPM turut menjalin kerjasama dengan Yayasan PETRONAS (YP) dalam melaksanakan Program Duta Guru (PDG) YP-KPM yang bertujuan untuk memperkasakan 4,500 orang guru STEM dalam meningkatkan KBAT murid melalui pendidikan STEM menjelang 2030. – TVS