MIRI, 28 Okt: Nama rasmi untuk entiti gabungan tiga agensi air iaitu Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia akan diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita sudah lama bercakap mengenai perkara ini dan sekarang kita sudah berada pada keputusan yang mana tiga agensi akan kita gabungkan di bawah satu entiti baharu tidak lama lagi.
“Ia akan melibatkan LAKU Management, Lembaga Air Kuching dan Lembaga Air Sibu. Namanya akan diumumkan kemudian, bukan saya. Saya rasa lebih elok ia diumumkan oleh pucuk kepimpinan apabila kita sampai kepada penggabungannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-28 LAKU Management Sdn Bhd di sini, Ahad malam.
Namun katanya penggabungan tersebut tidak melibatkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Ini kerana katanya peranan JBALB untuk melaksanakan kerja penyediaan infrastruktur air di seluruh Sarawak masih diperlukan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiusaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pengerusi LAKU Management Sdn Bhd Datuk Nelson Balang Rining, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Mantan Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan lain-lain. – TVS