KUCHING, 28 Okt: Persatuan Wanita UNIMAS (MASNITA) berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai persatuan dan badan-badan berkaitan di Sarawak bagi memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan pelbagai aspek termasuk pendidikan serta sosial anak-anak.
Yang DiPertua MASNITA Prof Dr Ramlah Zainudin berkata MASNITA akan terus memberi fokus untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat kepada golongan wanita dari pelbagai peringkat dan latar belakang.
“Golongan wanita merupakan tunjang kepada pembangunan pendidikan anak-anak. Kita melihat dari aspek-aspek kebajikan terutamanya di Sarawak dan bagaimana kita boleh membantu mereka dari segi pendidikan anak-anak mereka.
“Contohnya, ada anak-anak yang tidak tahu hala tuju mereka kerana faktor ekonomi keluarga. Oleh itu, sebagai kakitangan wanita di universiti kita sangat menitikberatkan pendidikan dan kita boleh menasihati dan anak-anak ini mengenai hala tuju mereka walaupun mereka dari keluarga asnaf sebab banyak inisiatif kerajaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Ujarnya, dalam kunjungan tersebut, Toh Puan Fauziah sangat mementingkan pendidikan dan isu sosial wanita dan berharap agar MASNITA dapat memperluaskan kerjasama dengan persatuan-persatuan yang lain.
Selain itu, katanya, turut dibincangkan pada kunjungan hormat tersebut ialah isu sosial melibatkan wanita termasuk gangguan seksual khususnya melibatkan kakitangan wanita di universiti.
“Kalau boleh (MASNITA) akan melihat isu ini (gangguan seksual) bukan sahaja di universiti tetapi juga di seluruh Sarawak. Jadi kita harap dapat bekerjasama dengan badan-badan yang lain terutamanya yang dipimpin oleh Toh Puan,” katanya. – TVS