KUALA LUMPUR, 28 Okt: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meraikan 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia pada Majlis Anugerah Enterprise 50 (E50).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pemilihan dibuat dengan teliti oleh Deloitte Malaysia dan disokong oleh pihak kementerian dalam menentukan syarikat PMKS terbaik di negara.
“Ianya sangat ketara di negara kita terdapat sekitar 1.17 juta syarikat PMKS yang berdaftar tetapi 50 ini adalah yang terbaik yang telah diteliti melalui penapisan oleh jawatankuasa yang diketuai oleh Deloitte Malaysia dan mudah-mudahan mereka akan terus maju jaya dalam perusahaan pada masa yang akan datang,” Katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan anugerah pada Majlis Anugerah Enterprise (E50) pada Sabtu.
Tambah beliau, anugerah ini boleh dijadikan sebagai satu platform bagi syarikat PMKS yang berdaftar untuk memasuki kategori menengah sekaligus tersenarai di dalam Bursa mahupun pasaran modal.
“Ini menunjukkan bahawa anugerah ini boleh menjadi platform kepada syarikat-syarikat untuk terus berkembang maju bukan hanya kekal sebagai syarikat dalam kategori menengah tetapi boleh menjadi syarikat ‘multi nasional’ syarikat yang tersenarai di bursa ataupun di pasaran modal,” ujarnya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1997, Program E50 telah mendapat pengiktirafan industri sejak dua (2) dekad yang lalu sebagai salah satu platform berprestij dan berkredibiliti dalam mempromosi dan menonjolkan PMKS terbaik di Malaysia.
Bertemakan ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ dianjurkan bersama oleh SME Corp. Malaysia dan Deloitte Malaysia, dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Untuk rekod, SME Corp. Malaysia telah berjaya melahirkan seramai 763 penerima Anugerah ini. Daripada jumlah tersebut, 67 penerima telah berjaya tersenarai di pasaran modal serta berjaya meluaskan pasaran di dalam dan di luar negara.
Majlis Anugerah E50 itu menyaksikan H&T Consulting Engineers Sdn. Bhd. diumumkan sebagai pemenang tempat pertama diikuti oleh Advantage Marine Services (Malaysia) Sdn. Bhd. di tempat kedua dan Global Psytech Sdn. Bhd. melengkapkan tiga tempat teratas.
Selain itu, Avialite Sdn. Bhd., Ventura IOT Sdn. Bhd., OSD Consultants (M) Sdn. Bhd., Techzilla Global Solution Sdn. Bhd., Ligno Biotech Sdn. Bhd., Maxvue Vision Sdn. Bhd. dan Nasi Lemak Saleha Sdn. Bhd. merupakan antara 10 pemenang teratas yang lain. Manakala, Avialite Sdn. Bhd. dan CG Global Profastex Manufacturing Sdn. Bhd. masing-masing menerima Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50.
Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 yang baru diperkenalkan tahun ini pula telah dianugerahkan kepada R Yang Enterprise Sdn. Bhd.
Anugerah E50 adalah hasil kerjasama awam-swasta antara SME Corp Malaysia dengan rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIA TV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Unifi Business, Malaysia SME, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC). -TVS