KUCHING, 28 Okt: Kawasan kuari terbiar berpotensi menjadi salah satu lokasi tumpuan jika dibangunkan secara teratur.
Mengambil contoh kuari Ang Cheng Ho, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dahulu ia merupakan kuari terbiar namun kini menjadi kawasan tumpuan di Batu Kawa.
“Jika kita llihat kawasan ini macam Sunway di Kuala Lumpur. Kawasan itu (Sunway) dahulu adalah kawasan kuari dan kini menjadi pusat yang sangat berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho Quarry di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, sistem pengairan di Batu Kawa juga akan diuruskan dengan baik.
“Air mesti diuruskan. Kalau musim banjir, kawasan Sinar Budi, Desa Wira mesti terkesan. Jadi kita akan memperbaiki sistem perparitan dengan cara baharu untuk kita simpan air.
“Kita akan tambah infrastruktur di Rantau Panjang dan Desa Wira supaya air boleh diuruskan dengan baik, ” ujarnya.
Menurutnya, kawasan Batu Kawa agak serupa dengan Ang Ko Mio di Singapura.
“Kalau kita perhatikan kawasan kering yang mana kita boleh kumpul air dan ia serupa dengan Singapura.
” Ia sebenarnya seperti Batu Kawa dan dipulihkan menjadi kawasan rekreasi,” jelasnya. -TVS