KUCHING, 28 Okt: Kerjasama erat antara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak dengan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Tourism) mempercepatkan pemulihan dan pembangunan sektor pelancongan di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bermula selepas lawatan rasmi ke Ibu Pejabat UN Tourism pada tahun lalu yang memberi peluang kepada kementeriannya untuk meneroka pelbagai inisiatif.
“Perkongsian ini memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemulihan dan pembangunan pelancongan Sarawak sebagai sektor ekonomi utama.
“Ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya Datuk Sebastian Ting Chiew Yew semasa Program Latihan Eksekutif UN Tourism Asia/Pasifik ke-18 di sini hari ini.
Abdul Karim turut menekankan Responsible Borneo dan Lembaga Pelancongan Sarawak sebagai ahli gabungan UN Tourism berperanan penting dalam membuka peluang kerjasama dan inovasi serta meningkatkan usaha kolektif dalam melaksanakan amalan terbaik yang melangkaui aspek ekonomi.
“Ini meletakkan Sarawak sebagai pemimpin di rantau ini dalam inisiatif pelancongan mampan.
“Keputusan kami untuk menganjurkan ETP ke-18 di Kuching menonjolkan pengaruh yang semakin meningkat di rantau ini dalam strategi pelancongan dan pembangunan dasar seklai gus menjadikannya lokasi yang ideal untuk acara antarabangsa yang berprestij seperti ini,” ujarnya.
Tambahnya, dengan kemajuan infrastruktur yang memfokuskan inisiatif kemampanan, termasuk Transit Aliran Autonomi dan syarikat penerbangan milik Sarawak, serta pengiktirafan Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO Sarawak kini sedang bergerak ke arah menjadi destinasi pelancongan mewah.
Antara inisiatif lain yang dilakukan oleh Sarawak adalah pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) kedua akan menjadikannya sebagai pusat bagi persidangan antarabangsa utama dengan membolehkan Sarawak menganjurkan persidangan sebanyak 10,000 delegasi menjelang 2027 meningkatkan kedudukannya sebagai hab penerbangan dengan penubuhan Fakulti Teknologi Aeroangkasa khusus di Kolej Universiti i-CATS dan Akademi Penerbangan di CENTEXS termasuk meneroka sempadan baharu, termasuk melancarkan rangkaian satelit milik Sarawak.
Abdul Karim berkata, melalui usaha tersebut, Sarawak bersedia untuk mengalu-alukan pelancong berkualiti dan persidangan antarabangsa sambil terus mengekalkan keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya yang menjadi identiti Sarawak. – TVS