KUCHING, 28 Okt: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Batu Kawa sebagai kawasan tarikan pelancong menerusi pembangunan taman rekreasi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan tersebut merupakan lanjutan kepada pembangunan Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho Batu Kawa fasa pertama di kawasan seluas 20 ekar.
Menurutnya, rancangan tersebut melibatkan kawasan keseluruhan sekuas 60 ekar merangkumi tanah lapang 40 ekar milik syarikat swasta dari Kuari Ang Chenf Ho menuju ke Emart Batu Kawa.
“Projek yang dirancang dibangunkan secara berperingkat bagi merancakkan lagi sosioekonomi Bandar raya Kuching itu merangkumi pelbagai kenudahan rekreasi seperti laluan joging, berbasikal, mendaki dinding tiruan dan banyak lagi, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho Quarry di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Dr Sim, Batu Kawa juga berubah daripada pekan lama kepada kawasan komersial dan penempatan baharu.
“Kita lihat Batu Kawa terus dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan, ” ujarnya.
Mengenai dewan serbaguna tersebut, Dr Sim berkata, projek tersebut dibangunkan untuk mengubah tapak kuari menjadi kawasan rekreasi.
“Dewan dengan saiz 1,968 kaki persegi ini mampu menempatkan sehingga 1,000 orang pada sesuatu masa dan gelanggang sukan, ” jelasnya. -TVS