KUCHING, 28 Okt: Batu Kawa akan bertukar wajah menjadi bandar satelit sekali gus merancakkan sektor ekonomi setempat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan ini akan lebih pesat dengan pembangunan baharu antara Kuching dan Bau.
“Sudah tentu Batu Kawa akan berubah bukan sahaja berubah wajah tetapi ia menjadi satelite township
di tengah-tengah pembangunan yang berlaku antara Kuching dan Bau.
“Tiga kawasan ini merupakan fokus kita (kerajaan) untuk dibangun menjadi bandar atau ‘urban development’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho Quarry Hall, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amat Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan juga mempunyai pelan induk pembangunan Batu Kawa bagi tahun 2030.
“Insya-Allah saya akan mencari duit untuk pembangunan Batu Kawa, kerana kami (kerajaan) mahu Sarawak maju dari sudut pembangunan dan masa depan.
‘Ini semua untuk manfaat rakyat, yang penting kita bersatu dan mempunyai kerajaan yang stabil untuk mecapai sasaran ini,” ujarnya. – TVS