KUCHING, 28 Okt: Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia PETRONAS menjadi platform bagi pembangunan bola sepak belia di Sarawak selain mempamerkan bakat para peserta.
Menurut Mohammad Imran Mohd Zaidel, 15, yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, kejohanan berkenaan memberi ruang dan peluang menunjukkan minat serta merealisasikan impian untuk menjadi pemain profesional.
Mengambil inspirasi daripada bapanya sendiri yang juga bekas pemain bola sepak Sarawak, Imran juga memegang impian untuk menyertai kelab terkemuka negara iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Namun begitu katanya, akademik bukan penghalang untuk terus aktif dalam bidang sukan bola sepak.
“Saya bahagikan masa bermain bola pada waktu cuti dan membuat kerja sekolah pada waktu yang ditetapkan seperti Isnin sehingga Jumaat,” katanya ketika ditemui TVS pada Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia Petronas bertempat di Padang C Jalan Stadium, Petra Jaya pada Ahad.
Senada dengan Mohammad Imran, Danish Darwisy, 14, mewakili pasukan Axis A berkata pada hujung minggu dia banyak meluangkan masa dengan latihan bola sepak.
“Pada hari biasa, saya akan fokus dengan pelajaran namun jika ada waktu terluang hujung minggu akan bermain bola,” katanya.
Sementara itu, Bryan Liew Tian Jun, 15, dari Sekolah SMK Kuching High berkata, dia akan menjalani latihan bola sepak dengan pada sebelah petang dan waktu malam digunakan untuk mengulang kaji pelajaran.
“Kenapa saya berminat sukan bola sepak kerana idola saya ialah Neymar, dia sangat mahir dan kemudian saya berfikir bola sepak adalah untuk semua orang tanpa mengira sesiapa pemain kerana disini adalah peminat bola sepak,” katanya.
Pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Es’syariffuddin, 14, berasa gembira kerana bakat dalam bermain bola sepak sepanjang berlatih dalam akademi Basic Soccer dapat dipamekan melalui kejohanan seperti ini.
“Saya berasa sangat gembira dapat menyertai kejohanan ini daripada duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.
“Dulu tidak pandai main tetapi selepas masuk akademi Basic Soccer banyak jurulatih yang mengajar dari tidak pandai sepak bola sehingga pandai sepak bola,” katanya.
Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia PETRONAS 2024 berlangsung selama dua bulan dari 14 September sehingga 16 November depan.
Objektif kejohanan perintis ini adalah komitmen PETRONAS dalam mempuk dan mengetengahkan bakat muda dalam persekitaran yang terstruktur serta membuka jalan untuk menganjurkan kejohanan berskala penuh di masa depan.
Sebanyak 23 akademi bola sepak dan sekolah dari Kuching, Samarahan, dan Sri Aman yang terlibat dengan 56 pasukan akan bersaing dalam empat kategori umur iaitu Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 16. – TVS