KUALA LUMPUR, 28 OKT: Lebih 70 peratus generasi muda negara ini menunjukkan peningkatan aspek pemahaman berhubung kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga di rumah dan sekolah.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui pendekatan ‘edutainment’ dan kreatif mendorong kepada peningkatan dapatan kaji selidik perkara berkaitan.
“Program-program ini mampu menarik lebih ramai penyertaan awam, terutamanya generasi muda dalam menyokong agenda peralihan tenaga dan kelestarian negara,” kata beliau.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato Seri Aminuddi Harun dalam Dewat Rakyat di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut memetik program kesedaran lain yang diadakan adalah program kerjasama di antara TNB dan The Star Media Group, “Powering the Future Workshops” melibatkan sebanyak 60 buah sekolah di seluruh negara.
“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai penjimatan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Sekali gus inisiatif itu bertujuan untuk merancakkan aktiviti kempen dan promosi mengenai kelestarian tenaga melalui media sosial dan saluran,” ujar beliau.
Fadillah memberitahu inisiatif Suruhanjaya Tenaga (ST) itu dilaksanakan menerusi program literasi tenaga secara bersepadu di bawah Malaysia Energy Literacy Program (MELP).
“Di bawah platform MELP, kesemua program literasi berkaitan tenaga diselaraskan dan melibatkan kerjasama daripada pelbagai jabatan kerajaan dan institusi seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan syarikat-syarikat utiliti,” jelasnya.
Selain itu, Fadillah mendedahkan pihaknya turut bergiat merancakkan aktiviti kempen dan promosi berkaitan kelestarian tenaga melalui media sosial dan saluran seperti Kempen “Pesan Mak!”.
“Program ini merupakan kempen kesedaran secara santai yang bertujuan untuk menggalakkan amalan jimat tenaga di rumah dan tempat kerja, serta menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan pembaziran tenaga dan menangani perubahan iklim,” jelas beliau.