KUALA LUMPUR, 27 Okt: Kementerian Luar mengesahkan insiden tragis melibatkan seorang ahli farmasi warga Malaysia yang dilaporkan dibunuh di timur laut Melbourne, Australia pada Rabu lalu.
Kementerian itu yang yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, bantuan konsular kini sedang diberikan kepada keluarga mangsa.
“Kita mengambil maklum mengenai kejadian itu, dengan bantuan konsular sedang diberikan kepada keluarga mangsa.
“Pada masa yang sama, pihak kementerian berharap agar privasi keluarga dihormati oleh pihak media dalam menghadapi keadaan sukar ini,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas portal akhbar tempatan melaporkan seorang ahli farmasi dikenali sebagai Leong Kum Chuan, 29, atau dikenali sebagai KC ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman di unit kediamannya di blok pangsapuri Bellfield berhampiran Ivanhoe.
Siasatan awal pihak polis membawa kepada penahanan seorang suspek yang didakwa menghidap skizofrenia dikenali sebagai Simon Hunter, 54 yang diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian.
Suspek yang merupakan seorang gelandangan kini berdepan dakwaan membunuh oleh Mahkamah Majistret Melbourne, sehari selepas insiden menggemparkan itu.- TVS