LAWAS, 27 Okt: Prosedur operasi standard atapun garis panduan (SOP) mengenai aspek keselamatan penumpang kenderaan khususnya melibatkan insiden kereta terbabas sehingga mengorbankan tiga kanak-kanak berhampiran Kampung Awat-Awat hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada masa ini pihak polis masih melakukan siasatan berhubung punca kemalangan itu termasuk menunggu hasil kimia selain menunggu hasil siasatan yang dilakukan pihak Puspakom terhadap kenderaan yang digunakan.
“Itu (perlaksanaan SOP keselamatan penumpang) kita akan lihat bagaimana penyiasatan dibuat dan kalau perlu sesuatu yang harus dilakukan kita akan lakukan, itu kita lihatlah bagaimana siasatan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kereta terbabas di Pejabat Daerah Kecil Sundar hari ini.

Beliau turut bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat sambil meminta mereka terus tabah menghadapi musibah dan ketentuan tuhan.
Dalam insiden menyayat hati pada 18 Oktober lepas tiga kanak-kanak maut, seorang kritikal manakala enam lagi penumpang selamat selepas sebuah kenderaan terbabas memasuki sungai berhampiran Kampung Awat-Awat.
Mangsa yang maut ialah Mohamad Nazran Matasan, 10, Mohd Fayard Mohd Azmi, 5 dan Eryna Akifa Imani Zukri 8, dalam kejadian menyayat hati yang berlaku jam 1 tengah hari.
Seorang kanak- kanak perempuan Madieenatul Munawarah Mohd Azmi 9, pula yang kritikal dan dirujuk ke Hospital Miri sebelum ini, kini stabil.
Terdahulu Awang Tengah sempat meluangkan masa melawat lokasi kejadian kemalangan di jalan menuju ke Kampung Awat-Awat. – TVS