KOTA SAMARAHAN, 27 Okt: Seramai 1,642 peserta Program Literasi Fungsian (PLF) telah mendapat manafaat daripada 93 buah kelas literasi fungsian yang telah dilaksanakan di seluruh negeri Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Rafea’ah Nahar berkata, sambutan ke atas program tersebut juga amat menggalakkan terutama di kalangan warga emas di kawasan luar bandar.
Menurutnya, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan Unit Literasi KEMAS bermula dari tahun 2010 antaranya memperkenalkan program Literacy Education for Adults Skills (LEADS) dan melantik penduduk setempat sebagai tenaga pengajar
“Tenaga pengajar ini akan dilatih sebelum memulakan kelas bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dan memahami penggunaan modul yang akan digunakan di dalam kelas.
“Bagi memastikan sasaran KEMAS dalam pembasmian buta huruf, kelas pendidikan literasi fungsian versi 2.0 atau PLF v 2.0 telah diperkenalkan pada tahun 2015 di mana sesi pengajaran dan pembelajaran PLF 2.0 ini akan diambil alih oleh pemaju masyarakat Tabika,” katanya lagi.
Sementara it, tenaga pengajar tempatan PLF yang di temui TVS diakhir program, Saili Sahmat, 59 berkata, dia gembira kerana berpeluang mendidik peserta PLF yang terdiri di kalangan warga emas.
“Semenjak saya berkhidmat (sebagai pendidik) di Kota Samarahan, saya begitu bersemangat kerana banyak peserta diawalnya kurang atau tidak pandai membaca, apabila diperkenalkan kepada kelas PLF, banyak peserta yang (kini) boleh membaca,” katanya.
Dua peserta PLF warga emas iaitu Bodiah Piee dan Rokiah Ali masing-masing berusia 67 tahun turut boleh membaca berita yang disiarkan di dalam laman web rasmi TVS dengan baik menerusi program yang telah dihadiri.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang hadir menyempurnakan majlis penutupan.
Hadir sama Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Anisah Saidin dan Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat. – TVS