KUCHING, 27 Okt: Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan golongan pemuda berusia 18 sehingga 28 tahun yang akan menjadi pemimpin masa depan Sarawak.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, pemuda pada masa ini adalah ketua baharu yang akan menggantikan sosok kepimpinan semasa bagi menjadikan wilayah ini terus maju ke hadapan.
Katanya lagi, dengan kekuatan mereka pada usia muda ini amat penting bagi ahli-ahli Sayap Belia PBB dilatih menjadi pemimpin dengan kualiti yang baik.
“Undang-undang telah diubah di mana mereka yang berusia 18 tahun boleh mengundi maka PBB mengambil langkah untuk mengadakan satu sayap baharu sayap belia usia 18 hingga 28 memang kita lebih fokus dan mementingkan kekuatan dan usia muda ini.
“Falsafah barat mengatakan pemuda hari ini adalah pemimpin esok hari soalannya bagaimanakah kualiti mereka apabila mereka menjadi pemimpin sebab itulah kita melatih mereka, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N4 Pantai Damai Sesi 2024 – 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Ahad.
Tambahnya lagi, masa depan Sarawak akan dapat dilihat melalui sikap dan keperibadian pemuda pada masa ini dan oleh sebab itu amat penting bagi golongan ini diberi penjagaan serta latihan agar tidak terjerumus kepada perkara negatif seperti dadah, arak dan sebagainya.
Ujarnya lagi, ibu bapa dan masyarakat dewasa perlu memainkan peranan mereka tersendiri dalam menekankan perkara ini kepada para pemuda masa depan Bumi Kenyalang senantiasa dalam keadaan yang baik. -TVS