Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
FOSTER berjaya melepaskan lebih daripada 43,826 anak penyu ke laut sejak 2012. Foto TVS

Pulau Libaran kekal bersih demi penyu terancam

SANDAKAN, 27 Okt: Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Negeri Sabah (FOSTER) menyambut ulang tahun ke-10 dengan membersihkan Pulau Libaran.

Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan sokongan Sabah Ports Sdn Bhd dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Program tersebut diadakan untuk mengekalkan kebersihan Pulau Libaran dan melindungi penyu laut yang kerap bersarang di pulau tersebut.

Ia melibatkan komuniti setempat, sukarelawan dan rakan korporat yang komited memelihara ekologi Pulau Libaran.

FOSTER menyambut ulang tahun ke-10 dengan inisiatif pembersihan pantai komuniti mereka di Pulau Libaran pada kelmarin. Foto TVS

Presiden FOSTER, Alexander Yee, menekankan pentingnya pembersihan harian, menyamakan usaha ini dengan penjagaan rumah.

“Jika kita mahu pantai bersih, ia tak cukup dengan gotong-royong berkala tetapi dengan pembersihan harian seperti rumah kita,” katanya.

Presiden Persatuan Pencinta and Pemuliharaan Hidupan Penyu Negeri Sabah, Alexander Yee. Foto TVS

Untuk membiayai penyelenggaraan harian pantai, FOSTER menggalakkan penyumbang untuk menaja RM100 sebulan atau RM1,200 setahun bagi setiap 100 meter pantai.

Dana tersebut disalurkan sebagai upah kepada penduduk Kampung Libaran dan memberi manfaat ekonomi kepada komuniti.

“Ini bukan sekadar melindungi penyu tetapi juga memperkasakan masyarakat setempat,” ujarnya.

Sejak 2012, FOSTER berjaya melepaskan lebih daripada 43,826 anak penyu ke laut iaitu satu pencapaian besar dalam pemuliharaan yang memerlukan sokongan berterusan daripada komuniti dan korporat.

Pulau Libaran menjadi habitat penting bagi penyu hijau (Chelonia mydas) yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Menurut Alexander, cabaran pemuliharaan tetap wujud termasuk pengambilan telur penyu secara haram oleh penduduk kampung.

“Seorang pemilik tanah melarang pasukan kami meronda di kawasan pantai di hadapan hartanya yang menjejaskan usaha pemuliharaan,” jelasnya.

Sabah Ports Sdn Bhd dan STB adalah antara penyumbang utama program tersebut.

Kedua-dua pihak tersebut komited menyokong pembersihan pantai sejauh 500 meter untuk tempoh dua tahun.

Pengurus Besar Sabah Ports, Siti Noraishah Azizan menganggap program tersebut sebagai mulia kerana melibatkan pemuliharaan alam sekitar, perlindungan hidupan liar dan penglibatan komuniti.

“Perlindungan biodiversiti marin adalah fokus utama usaha kelestarian kami,” jelasnya.

Pengurus Besar Sabah Ports Sdn Bhd, Siti Noraishah Azizan. Foto TVS

Menjelang masa depan, FOSTER berharap lebih banyak pihak menyokong usaha mengekalkan kebersihan pantai Pulau Libaran dan melindungi habitat penyu.

“Kami mengundang industri, organisasi, dan individu yang peduli terhadap alam sekitar untuk bersama-sama menyertai kami,” kata Alexander. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan