BAU, 27 Okt: Pesta Tasik Biru di Bau terus mengekalkan statusnya sebagai acara ikonik yang tidak pernah gagal menarik perhatian pelancong.
Setiap tahun, pesta ini membawa bersama pelbagai aktiviti menarik yang meriah, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negeri.
Penganjuran pesta ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan Tasik Biru, tetapi juga memberikan impak positif kepada ekonomi tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, penyertaan gerai dan perniagaan kecil dibuka sepanjang acara, memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka dan meningkatkan pendapatan.
“Kita tidak pernah gagal untuk mengadakan Pesta Tasik Biru, cuma ketika pandemik COVID-19, tetapi apabila sudah tiada kekangan, program ini tetap diteruskan kerana ia merupakan acara ikonik di Bau.
“Pesta Tasik Biru untuk kita mempamerkan budaya kita, makanan dan alam semula jadi yang terdapat di Bau kepada pengunjur luar, menerusi pesta ini, kita dapat pamerkan apa yang kita ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2024 di Lobuh Bau, di sini pada Ahad.
Menurutnya kerjasama antara penduduk dan pemimpin tempatan dalam menganjurkan aktiviti yang dijalankan mampu mengukuhkan hubungan sosial dan meningkatkan kesedaran kepentingan pembangunan ekonomi rakyat.
Dengan sambutan yang semakin meriah setiap tahun, Pesta Tasik Biru bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, tetapi juga simbol kemajuan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat Bau. -TVS