KUCHING, 27 Okt: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N4 Pantai Damai bukan hanya satu pertemuan yang biasa melainkan satu platform penting menilai pencapaian yang dicapai.
Naib Presiden PBB, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mesyuarat tersebut juga amat penting kepada PBB Cawangan Pantai Damai untuk merangka hala tuju masa depan, serta memperkukuhkan ruang perpaduan di kalangan semua.
Katanya lagi, pelbagai perkara telah dibincangkan melibatkan isu-isu penting yang akan menentukan arah tuju perjuangan mereka di masa hadapan, selain keputusan yang dicapai menjadi panduan bagi pergerakan menuju kejayaan yang lebih besar.
“Mesyuarat ini bukan sekadar pertemuan biasa, ia adalah platform penting untuk kita menilai pencapaian lalu, merangka hala tuju masa depan, serta memperkukuhkan perpaduan di kalangan kita semua.
“Di sinilah tempatnya kita akan membincangkan isu-isu penting yang akan menentukan arah tuju perjuangan kita di masa hadapan dan semua keputusan yang kita capai hari ini akan menjadi panduan bagi pergerakan kita menuju kejayaan yang lebih besar, terutamanya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan N4 Pantai Damai Sesi 2024 – 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menyeru agar lebih banyak peranan diberikan kepada golongan muda membawa idea-idea segar dan inovatif yang boleh memacu perkembangan parti ke hadapan.
Ujarnya lagi, PBB Cawangan Pantai Damai diminta senantiasa bersedia dengan cabaran-cabaran baharu yang akan terus datang, terutama dengan perubahan teknologi, sosial dan ekonomi yang semakin pesat supaya dapat memastikan PBB terus menjadi pilihan utama masyarakat.
“Saya menyeru agar kita terus memberikan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk berperanan aktif, membawa idea-idea segar dan inovatif yang boleh memacu perkembangan parti ke hadapan agar mereka merasakan tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan parti.
“Kita juga harus sedar bahawa cabaran-cabaran baharu akan terus datang, terutama dengan perubahan teknologi, sosial, dan ekonomi yang semakin pesat dan kita perlu sentiasa bersedia serta responsif terhadap perubahan-perubahan ini, supaya kita dapat memastikan PBB terus menjadi pilihan utama rakyat,” ujarnya. -TVS