MIRI, 27 Okt: Masjid An-Naim di Lutong menerima peruntukan berjumlah RM100,000 daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew hari ini.
Sebastian yang mengumumkan berita gembira tersebut pada Majlis Penutupan Karnival Amal Masjid An-Naim di Lutong berkata, peruntukan itu diluluskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memenuhi keperluan masjid tersebut.
Menurutnya, pengurusan peruntukan tersebut akan dibincangkan dengan Majlis Bandaraya Miri dan Pengerusi Masjid An-Naim, Muhammad Sabri Boyin bagi memastikan dana tersebut dimanfaatkan dengan sebaiknya.
“Peruntukan RM100,000 sudah diluluskan di bawah RTP. Majlis Bandaraya Miri akan berbincang dengan Pengerusi Masjid An-Naim untuk mengatur pengurusannya dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, Sebastian turut mengumumkan peruntukan tambahan RM5,000 untuk Karnival Amal Masjid An-Naim yang akan diberikan pada awal tahun depan.
“Tahun ini peruntukan telah digunakan, jadi RM5,000 akan disalurkan tahun depan,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha menjayakan karnival tersebut dan meluahkan kegembiraannya dapat bersama komuniti Lutong pada majlis tersebut. – TVS