Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kuching City FC bangkit menebus kekecewaan tiga perlawanan lepas tanpa sebarang kemenangan dengan menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 3-1 dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. Foto Kuching City FC (FB)

Liga Super: Kuching City kembali temui rentak kemenangan, Terengganu ikat Perak

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Kuching City FC bangkit menebus kekecewaan tiga perlawanan lepas tanpa sebarang kemenangan dengan menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 3-1 dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Biarpun ‘tempang’ tanpa dua pemain selepas kad merah dilayangkan kepada James Okwuosa dan Kipre Tchetche pada separuh masa kedua perlawanan, ia sama sekali tidak menjejaskan usaha Kuching City mengutip tiga mata berharga.

Terdahulu, Okwuosa meletakkan Kuching City di hadapan menerusi jaringan seawal minit pertama sebelum Petrus Shitembi menggandakan gol pada masa tambahan separuh pertama.

Babak kedua, kapten pasukan KL City Paulo Josue menyuntik sedikit moral buat pasukan dengan merapatkan kedudukan menerusi jaringan penalti pada minit ke-62.

Tchetche bagaimanapun memastikan Kuching City kembali menjarakkan kedudukan dengan gol ketiga pasukan hasil jaringan penalti pada minit ke-68.

Dalam pada itu, Terengganu FC meranapkan impian Perak FC mengutip tiga mata di laman sendiri selepas aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung berkesudahan 2-2.

Perak kendalian Yusri Che Lah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi sepakan penalti Luka Milunovic pada minit kelapan selepas Clayton da Silva dijatuhkan dalam kotak penalti.

Terengganu tidak berdiam diri dan menggandakan asakan sebelum berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nelson Bonilla pada minit ke-44 hasil umpanan Manuel Ott.

Babak kedua, Perak sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali selepas melihat ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) dan Luciano Guaycochea menyempurnakannya pada minit ke-56.

Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim bagaimanapun muncul wira Terengganu selepas memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-94 sekali gus meranapkan impian tuan rumah untuk menang di laman sendiri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan