TAWAU, 27 Okt: Seorang kanak-kanak lelaki rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Jati, Batu 5, Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, kebakaran turut memusnahkan 38 rumah serta beberapa lagi kenderaan milik penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.55 tengah malam.
Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai bersama-sama enam jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran sudah melibatkan sebahagian besar rumah di lokasi kejadian.
“Pasukan operasi terus melakukan operasi pemadaman menggunakan dua pancutan dari sumber air tangki jentera dan air sungai berhampiran ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jemishin berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.28 pagi dan kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal di tanah berkeluasan 1.57 ekar.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui seorang kanak-kanak rentung dan terus diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca serta jumlah kerugian dalam kebakaran yang melibatkan 38 rumah ini,” katanya.
Sementara itu, Jemishin berkata, operasi yang ditamatkan pada jam 5.59 pagi itu turut dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity. – TVS