KUCHING, 27 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memuji komitmen UDA Holdings Berhad yang menggembangkan kawasan baharu di Bintulu.
Beliau berkata, UDA Holdings Berhad memilh Jepak sebagai kawasan pembangunan baharu.
“Saya memanggilnya sebagai gelombang kedua untuk pembangunan Bintulu kerana melibatkan kawasan Jepak.
“Ini merupakan pembangunan yang kita rancang dan akan memberi kesan kepada ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Karnival UDA 2024 Sarawak di Tapak Projek Neu Pendington di sini, hari ini.
Malah menurutnya, pembinaan Jambatan Bintulu – Jepak yang kini sudah mencapai fasa akhir pembinaan bakal merancakkan lagi pembangunan di kawasan tersebut.
Tambahnya, jambatan tersebut bakal menjadi seperti Golden Gate di San Francisco.
“Sekarang ini kita membina jambatan (Bintulu-Jepak) dan ia akan siap. Insya-Allah pada hujung tahun ini iaitu dalam masa satu bulan lagi. Jambatan ini adalah seperti jambatan San Francisco di Amerika Syarikat.
“Jambatan ini juga akan menghubungkan Bandar Bintulu dengan kawasan baharu di Jepak,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, status kemajuan projek Jambatan Bintulu-Jepak kini adalah sebanyak 82 peratus dan dijangka siap mengikut jadual. – TVS