KELANA JAYA, 27 Okt: Johor Darul Takzim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di takhta Liga Super selepas mudah menewaskan seteru utamanya, Selangor FC 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Meskipun Red Giant beraksi di hadapan ribuan penyokongnya, lautan merah kuning itu langsung tidak menggerunkan Harimau Selatan apabila menguasai perlawanan sejak awal.
Malam gemilang JDT dimulakan menerusi jaringan Romel Morales yang bijak memanfaatkan keadaan kelam kabut dalam kawasan lawan apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-29.
Dua minit sebelum babak pertama tamat, skuad kendalian Hector Bigdolio itu terus selesa di hadapan, kali ini menerusi jaringan ayam tambatannya, Bergson Da Silva yang mudah menampan masuk hantaran Arif Aiman Hanapi.
Pada babak kedua, JDT terus melancarkan asakan bertali arus ke kubu pasukan kendalian Nidzam Jamil yang dilihat bergelut untuk mengimbangi rentak perlawanan apabila terus mengekalkan gaya permainan bertahan dengan sekali sekala melancarkan serangan balas pantas ke kubu lawan.
Pada minit ke-54, gawang Selangor terus dibocori sekali lagi menerusi jaringan Bergson yang mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Azim Al Amin.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan Harimau Selatan terus selesa menerajui liga dengan 34 mata meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan kelebihan lapan mata. – TVS