BINTULU, 27 Okt: Dua cedera selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan kendiri dan terbalik di simpang Sebubu Sdn Bhd, Jalan Pesisir Bintulu-Miri di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.15 pagi dengan menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan kereta Proton Saga yang terbalik di jalan raya.
“Dua mangsa seorang lelaki dan wanita berusia 30 dan 36 tahun tersepit di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seorang mangsa berjaya keluar sendiri menerima rawatan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit dan dihantar ke Hospital Nyabau menggunakan jentera EMRS.
“Pihak bomba turut mengalihkan kenderaan tebabit ke bahu jalan raya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-TVS