LUNDU, 27 Okt: Cubaan sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia meloloskan diri ke negeri ini digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sektor Pos GABMA Biawak di sini, hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, pengusiran dilakukan sebanyak dua kali iaitu yang pertama pada jam 7.45 pagi seramai seorang PATI dan pengusiran kedua pada jam 12.45 petang pula seramai lapan orang PATI.
“Tangkapan telah dibuat di Sektor Pos GABMA Biawak berdekatan lorong tikus iaitu jarak lebih kurang 350 dan 245 meter dari sempadan Indonesia.
“Kesemua sembilan orang PATI telah ditahan oleh Sub Unit yang sama iaitu sepasukan anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang sedang melaksanakan penugasan rondaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sehingga ke hari ini jumlah keseluruhan PATI yang telah diusir keluar adalah seramai 187 orang.
“Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap sembilan orang PATI dalam lingkungan umur 24 hingga 43 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
“Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM 6,077 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian,” ujarnya.
Katanya, kesemua PATI telah di bawa ke sempadan negara untuk pengusiran dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.-TVS