SERIAN, 27 Okt: Pengguna diingatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah ketika berada di jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, sikap dan amalan itu jika dipraktikkan dengan baik mampu mengurangkan serta mengelak kemalangan.
“Sikap bersabar serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya juga amat penting agar semua dapat sampai ke destinasi dituju dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Program Bantuan MyLesen(B2) Peringkat DUN Bukit Semuja di Dewan Masyarakat Serian semalam.
Seramai 397 orang peserta mengikuti program itu dengan jayanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Sarawak khususnya JPJ Serian, Pusat Khidmat Bukit Semuja, Institut Memandu Liamarc serta agensi agensi kerajaan yang terlibat menjayakan program itu.
Turut disediakan semasa program itu ialah Perkhidmatan Kaunter Bergerak JPJ Mobile bagi memudahkan masyarakat setempat bagi urusan pembaharuan lesen memandu, cukai jalan, Pendaftaran My JPJ, semakan saman serta lain-lain urusan. -TVS