KUCHING, 27 Okt: Perubahan landskap politik, ekonomi dan sosial sekarang menuntut ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sentiasa berdaptasi.
Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setiap ahli juga perlu kekal berprinsip dan berjuang berpandukan PBB untuk memajukan rakyat serta menjaga keharmonian wilayah ini.
“Kita berada di zaman yang penuh dengan cabaran sekarang. Jadikan cabaran sebagai peluang untuk memperkukuh kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.4 Pantai Damai Sesi 2024 – 2027 di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) menjelaskan, Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB juga harus bersedia menghadapi cabaran dengan sikap positif dan penuh kesungguhan.
“Pergerakan Wanita dan Pemuda perlu bekerja secara lebih rapat. Kerjasama ini penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan dan memudahkan proses peralihan apabila tiba masanya.
“Wanita dan Pemuda perlu memperkuatkan solidariti dalam semua aspek termasuk merangka strategi sehingga melaksanakan program yang memberi impak kepada masyarakat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menggesa Pergerakan Pemuda supaya melihat ke hadapan dan tidak boleh hanya berada dalam zon selesa.
“Pemuda perlu proaktif dalam menggunakan platform digital, media sosial dan teknologi untuk menyebarkan mesej perjuangan PBB,” jelasnya.
Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda dari 35 Ranting PBB dalam DUN N.4 Pantai Damai menghadiri Mesyuarat Perwakilan Tritahunan ini -TVS