SIBU, 26 Okt: Seorang wanita rugi RM301,231 selepas cermin keretanya dipecahkan dan beg bimbit dilarikan dua lelaki menggunakan motosikal di tempat parkir Kampung Nyabor di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian jam 11.10 pagi itu, wanita berkenaan baharu sahaja mengeluarkan wang dari salah sebuah bank dan diekori suspek sebelum melarikan diri menggunakan motosikal bersama-sama rakannya yang menunggu di bahu jalan.
“Apabila mangsa meletakkan kenderannya di tempat parkir, suspek telah bertindak memecahkan cermin tingkap kereta sebelah pemandu dan mencuri beg tersebut yang diletakkan di tempat duduk bersebelahan.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dibuat berdasarkan rakaman dashcam kenderaaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati sewaktu berurusan di bank dan tidak meletakkan barang berharga di tempat yang mudah dicapai agar ruang dan peluang untuk kejadian seperti ini tidak berlaku.
“Sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau terus ke pegawai penyiasat kes, Insp Muhd Syahmi zahar di talian 011-23148321.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379/427 Kanun keseksaan,” tegasnya.-TVS