KUALA LUMPUR, 26 Okt: Ketimbang bekas minuman ‘tumbler’ yang sebelum ini kebanyakannya diperbuat daripada plastik yang mengambil masa begitu lama untuk terurai, kini semakin ramai terutamanya generasi muda memilih produk mesra alam.
Ianya bukan lagi setakat bekas menyimpan air panas atau sejuk, bahkan juga simbol gaya hidup yang mengutamakan kesihatan dan kreativiti.
Lazimnya berbentuk silinder dengan penutup yang kemas, penggunaan tumbler yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan mampu mengekalkan suhu minuman (sejuk atau panas) ini semakin popular dengan pelbagai jenama dijual di laman media sosial.
Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Dr Mohd Yusoff Ishak menganggap budaya yang dicetuskan semula oleh pengaruh media sosial itu sebagai trend yang positif dan berupaya membawa kepada penjagaan alam sekitar apabila ia secara tidak langsung mengurangkan penggunaan botol plastik sekali guna.
“Walaupun masih belum ada kajian dan data yang mengesahkannya , tapi saya yakin kalau dari segi impak penggunaan plastik sekali guna, ia banyak membantu.
” Apa yang penting daripada budaya dan trend yang dicetuskan ini, kesedaran orang awam terhadap peranan dalam menjaga alam sekitar semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.
Mohd Yusoff berharap populariti tumbler yang kini membawa kepada budaya membawa bekas air sendiri apabila membeli minuman, mampu diperluaskan kepada bekas makanan yang mempunyai fungsi sama.
Beliau juga mengingatkan pengguna agar mengimbangi minat untuk memiliki dan kesedaran terhadap impak alam sekitar yang menjadi kunci dalam memastikan trend ini kekal berfaedah dan bertanggungjawab.
“Memiliki tumbler yang menarik memang memuaskan, namun pengguna harus sedar bahawa keutamaan sebenar adalah mengurangkan sisa plastik, bukan sekadar menjadikannya item fesyen. Jadi, kumpul dengan bijak dan ingat bahawa setiap pilihan kecil kita memberi kesan besar kepada bumi,” katanya yang juga merupakan pakar alam sekitar.
Pakar Psikologi dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali pula berpandangan, penggunaan bekas minuman yang trendy turut memberikan kepuasan sendiri dalam gaya hidup moden.
“Bukan hanya sekadar mengikuti trend, memiliki tumbler yang unik memberikan kepuasan baik daripada segi gaya, yang mana ia menjadi kepuasan dan kegembiraan kepada seseorang apabila dapat memiliki benda yang dihajati selain menyumbang kepada penjagaan kesihatan,” katanya.
Menurut Shazli Ezzat, pengenalan membawa tumbler sendiri bukanlah satu budaya baharu kerana kedai kopi popular yang sedia ada pernah terlebih dahulu memasarkan bekas minuman sedemikian termasuk menawarkan pelbagai diskaun.
“Misalnya, dulu bila orang masuk kedai kopi jenama mahal, dia ada macam status sosial sendiri, memandangkan tak semua orang mungkin mampu nak beli minuman di situ, jadi bila pegang (tumbler) itu ada timbul rasa keyakinan diri meningkat seolah-olah status sosial pun jadi lain, situasi ini lebih kurang sama dengan jenama yang baru tular,” katanya.
Bagaimanapun, budaya ini diharapkan tidak menjadi elemen negatif buat masyarakat, misalnya bagi mereka yang terlampau obses untuk memiliki barangan tersebut sehingga menjejaskan kehidupan.
“Ia akan jadi perkara tidak bagus, misalnya terlampau obses nak mengumpul sehingga jejaskan kewangan, ataupun beli terlampau banyak sehingga menjadi beban kerana masalah ruang untuk menyimpan,” katanya.
Sementara itu, pengguna dan pengumpul tumbler Amerul Izuan Alias, 23, mengakui menyukai rekaan tumbler yang comel dan estetik namun membeli koleksi sesuai dengan kemampuan yang ada.
“Sebelum ni saya merupakan pengumpul tumbler kedai kopi berjenama tapi sekarang saya beralih kepada jenama lain kerana tertarik dengan harganya yang berpatutan. Jadi saya cuba beli satu dulu untuk buat perbandingan,” katanya yang menggunakan tumblernya, untuk mengisi air kosong bagi memastikan hidrasi badan. – TVS