KUCHING, 26 Okt: Seramai 103 peserta termasuk penduduk tempatan, Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Young Souls, pelbagai agensi dan persatuan bekerjasama membersihkan kawasan pantai selain meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan melindungi alam sekitar.
Dalam satu kenyataan media, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, AZAM Sarawak terus menunjukkan komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan kejayaan penganjuran program Anak Pantey di Pantai Pasir Pandak.
“Masyarakat perlu menyedari kepentingan memelihara kebersihan pantai dan alam sekitar. Melalui program ini, kita sedar bahawa usaha memelihara dan memulihara alam sekitar bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Semua pihak, termasuk komuniti tempatan, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta mesti memainkan peranan masing-masing dalam memupuk rasa tanggungjawab dan meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk melindungi alam sekitar,” katanya dalam ucapan penutupan ketika menyempurnakan program berkenaan, di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap usaha AZAM menganjurkan program itu dan berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama antara AZAM dengan komuniti kawasan berkenaan pada masa hadapan.
“Sebagai penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai, kami mempunyai potensi untuk menjadikan komuniti ini sebagai destinasi pelancongan yang boleh menarik pelancong tempatan dan juga antarabangsa, terutamanya menerusi rancangan Sarawak untuk membangunkan rangkaian sistem Transit Aliran Automasi (ART),” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, program tersebut bertujuan mendidik masyarakat mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pencegahan pencemaran, demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang.
“AZAM sangat mementingkan kelestarian alam sekitar sebagai sebahagian daripada tumpuan pihak kami terhadap pembangunan mampan.
“Kami juga percaya bahawa budaya ‘hijau’ dan amalan mampan adalah asas penting untuk memastikan kesejahteraan generasi akan datang, sambil turut menyokong agenda kerajaan negeri untuk trajektori pembangunan yang lebih bersih dan hijau,” katanya.
Program Anak Pantey dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi utama, termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Trienekens dan Sarawak Metro yang turut menyampaikan ceramah pendek serta berkongsi amalan terbaik mengenai kelestarian alam sekitar. – TVS