KOTA SAMARAHAN, 26 Oktober: Sarawak dijangka akan mencapai status negeri tua pada 2028 dengan populasi warga emas di negeri ini melebih 15 peratus daripada populasinya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak diramal akan menjadi negeri tua lebih awal daripada negeri lain di Malayisa.
Katanya, kadar kesuburan yang rendah kalangan masyarakat menjadi antara penyebab utama kecepatan Sarawak menjadi negeri tua susulan kadar kelahiran yang kurang terutama di kalangan pasangan muda.
“Bilangan anak dalam satu keluarga ketika ini amat jarang kita melihat sampai lima orang dan kebiasaanya dalam keluarga terbabit akan ada seorang atau dua orang anak sahaja, malah ada yang tidak mahu memiliki anak pun ada.
“Jadi ini berbeza dengan kadar penambahan penduduknya berkurang manakala jangka hayat warga emas semakin panjang, maka sebab itu apabila kita bergerak ke mana-mana di Sarawak ini contohnya kita akan melihat jumlah warga emas yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Bahagian Samarahan di Dewan Pertubuhan Peladang Samarahan pada Sabtu.
Fatimah berkata, sebagai persediaan ke arah negeri tua, Sarawak telah melaksanakan kajian profail warga emas  bagi mengenalpasti isu-isu dihadapi warga emas untuk merangka dasar-dasar inklusif berkaitan dengan warga emas.
“Ia bagi memastikan warga emas di negeri itu dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera dengan sistem sokongan yang manpan dan kondusif.
“Inilah usaha kita untuk negeri Sarawak dan saya percaya kita adalah negeri yang pertama menjalankan kajian seperti ini sebagai persiapan untuk memastikan warga emas dan apabila sarawak menjadi negeri tua, kita sudah bersedia,” katanya. – TVS