MIRI, 26 Okt: Program pemberdayaan untuk individu dengan autisme yang diperkenalkan kini memasuki fasa baharu dengan penambahan beberapa kursus.
Terdapat sepuluh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara yang menyediakan kursus khas untuk membantu warga autisme mempelajari kemahiran berguna.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, Kementerian Belia dan Sukan tidak hanya memberi tumpuan kepada kelangsungan program tetapi berusaha memastikan graduan kursus tersebut memperoleh peluang pekerjaan yangs ama dengan pelajar lain.
Menurutnya, pelbagai perjanjian kerjasama dijalin dengan syarikat dan institusi untuk membantu graduan mendapatkan penempatan pekerjaan.
“Kami menjadikan Cafe Rimau sebagai platform bagi pelajar yang mengikuti kursus di IKBN dan institusi lain.
“Tujuan utama kami adalah untuk memastikan mereka bukan sahaja memperoleh pengetahuan tetapi juga dapat menjalani kehidupan setara dengan orang lain.
“Kita mempunyai rakan kongsi yang bersedia untuk bekerjasama walaupun dengan kapasiti kecil. Mungkin mereka kurang terlihat tetapi terdapat banyak syarikat dan rakan kongsi yang sentiasa bersedia untuk membuka ruang terutama dalam bidang yang kita fokuskan.
“Sebagai contoh, dalam bidang penyajian makanan, memang ada peluang untuk mereka,” katanya pada sidang media sempena Istiadat Konvokesyen ke-16 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri di sini, hari ini.
Sepuluh graduan menerima Sijil Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme (MY AUTISSERIE) pada majlis tersebut. – TVS