LAWAS, 26 Okt: Pesta Makan Tahun Kedayan Seborneo anjuran Persatuan Kedayan Lawas akan membuka tirainya di Merapok Lawas selama tiga hari bermula 1 hingga 3 November ini.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, perayaan Makan Tahun Kedayan ini merupakan aktiviti tahunan untuk masyarakat Kedayan di Lawas hingga ke Sibuti.
“Sepanjang pesta itu, kita akan disaji dengan persembahan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai etnik di Lawas yang bukan sahaja untuk satu kaum,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran Kepada Persatuan Kedayan Lawas di Majlis Daerah Lawas hari ini.
Menurutnya, beliau sentiasa menyokong program kemasyarakatan yang menjurus kepada perpaduan kaum dan masyarakat.
Tambahnya, perayaan seperti itu perlu diselaras dengan lebih teratur dan sistematik di bawah Pejabat Daerah atau Pejabat Residen.
“Ini merupakan satu program tahunan dan perlu rasanya kita tetapkan kalendar untuk memastikan program seperti Makan Tahun Kedayan, Pesta Lun Bawang dan Pesta Lumba Rakit di Long Tengoa itu dapat diselaras dengan baik.
“Penetapan kalendar ini adalah untuk memudahkan usaha mempromosi berbagai program menarik di Lawas dan memberi ruang kepada pelawat merancang masa untuk datang,” ujarnya.
Hadir sama Temenggong Rosli Majid dan Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas Haris Majid.-TVS