KUCHING, 26 Okt: Perjalanan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) selama 85 tahun dalam mengharungi pelbagai era menunjukkan anak Melayu mampu bersaing secara kompetitif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana PKMS melalui pelbagai cabaran termasuk zaman kolonial dan komunis namun tetap berusaha memenuhi aspirasi masyarakat Melayu.
“Kalau kita lihat perjalanan PKMS selama 85 tahun mereka telah banyak menyumbangkan idea bukan sahaja untuk menyemarakkan semangat dalam era di mana mereka melalui sejarahnya tetapi dapat merangkumi kehendak masyarakat Melayu dan rakyat Sarawak itu sendiri.
“Apakah hubung kait PKMS dengan keadaan ini? Ini adalah untuk kita memajukan anak Sarawak supaya lebih kompetitif,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam 85 Tahun Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Hikmah Exchange & Event Centre di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, ketika Sarawak berada di bawah penjajahan keluarga Brooke, terdapat satu perjanjian di bawah perlembagaan 1945 untuk memberikan mandat pemerintahan Sarawak kepada anak Sarawak sendiri.
“Apakah anak Melayu dan rakan kita yang lain berkehendakkan tongkat dalam era yang penuh mencabar dan dalam keadaan yang sudah berubah daripada era Brooke, era koloni dan komunis? Itu sudah berlalu dan kita sekarang melihat masa depan.
“Maka mulalah kita membangunkan masyarakat kita di wilayah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Abang Johari berharap anak Sarawak yang berjaya akan terus menyumbang dan menjawat jawatan terpenting dalam mengangkat martabat Melayu dan Bumiputera di wilayah ini.
“Harapan kita mereka boleh menjadi pentadbir dan menguruskan hal ehwal Sarawak, disamping ditempatkan di mana sahaja dan mereka boleh berjaya,” jelasnya. -TVS