LIMBANG, 26 Okt: Kemasukan kira-kira 3,000 pengunjung dari negara jiran pada setiap hari berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) jelas menunjukkan Limbang tidak pernah sunyi daripada menerima kedatangan pelancong luar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, angka itu akan meningkat setiap bulan terutama dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti menarik di daerah tersebut.
Menurutnya, kehadiran pengunjung luar khususnya dari negara jiran, Brunei Darussalam memberi impak positif kepada ekonomi penduduk setempat.
“Jika dah sampai 3,000 pengunjung yang daftar masuk sehari ke Limbang, maknanya untuk sebulan dah meningkat.
“Ini menunjukkan Limbang tidak sunyi apatah dengan penganjuran program di Limbang, ramai pengunjung dari negara jiran datang ke daerah kita,” katanya ketika berucap pada Program Sesi Libat Urus Program Khidmat Masyarakat (CSR) Bersama Komuniti Setempat anjuran JIM Bahagian Limbang di Dewan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tedungan Limbang hari ini.
Pada masa sama, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang mahu JIM menyampaikan maklumat baharu terutama berkaitan sempadan, lintas sempadan dan perundangan baharu kepada penduduk yang mendiami kawasan sempadan antara Limbang dan Brunei.
“Ia dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat dengan agensi kerajaan terutama JIM,” ujarnya.
Beliau berkata, penyampaian maklumat mengenai fungsi agensi juga penting untuk memastikan masyarakat mengetahui mengenai perkhidmatan yang diberikan.
Turut hadir Ketua Imigresen Bahagian Limbang Khalthom Ahmad.-TVS