NIBONG TEBAL, 26 Okt: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap insiden gangguan seksual di institusi-institusi di bawah kementerian itu terutamanya membabitkan murid dan pelajar sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tetap menegaskan bahawa sekolah merupakan satu tempat yang selamat dengan memastikan keseluruhan ekosistemnya mendukung keselamatan anak-anak.
Katanya, KPM meminta semua pihak di sekolah untuk bertanggungjawab penuh terhadap Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan KPM yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“Kita minta pihak sekolah untuk memastikan dari segi keselamatan (pelajar), setiap aduan (gangguan seksual) benar-benar ditangani dengan integriti.
“Jadi, (mangsa) tidak perlu takut untuk tampil dengan aduan kerana berdasarkan garis panduan itu, ia harus dipatuhi dan diikuti oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu gangguan seksual masih berlaku di sekolah namun mangsa takut membuat laporan.
Fadhlina ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini. – TVS