BINTANGOR, 26 Okt: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan lebih RM1 juta untuk 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah panjang untuk Parlimen Sarikei di kawasan Meradong hari ini.
Peruntukan yang keseluruhannya berjumlah RM1, 086,600 itu disalurkan di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani atau SejaTi Madani.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Dewan Pejabat Daerah Meradong.
Sehubungan itu Tiong Sii berkata, SejaTi Madani merupakan inisiatif baharu kerajaan Madani yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan setempat dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Ujarnya, Kerajaan Persekutuan mengenalpasti lima sektor tumpuan antaranya, pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
“Sebagai wakil rakyat, saya mengesa komuniti rumah panjang atau JKKK untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program tersebut supaya berpeluang mereka menjana pendapatan.
“Ini bukti keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat khsusnya di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 16 kelab, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk Daerah Meradong.
Hadir sama, ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman, Radiah Muhamed, wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang dan Mohd Tajuddin Yusof yang mewakili Pegawai Daerah Sarikei. -TVS