BINTANGOR, 26 Okt: Kegigihan usaha kerajaan dalam meningkatkan prasarana pendidikan di luar bandar sangat penting untuk memastikan guru dan pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha itu dapat membantu mengurangkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus memberi peluang kepada semua pelajar untuk berjaya.
Pada masa yang sama katanya, kerjasama semua pihak dalam meningkatkan akses pendidikan merupakan kunci utama untuk memastikan setiap individu, terutamanya di kawasan terpencil.
“Di kawasan Meradong misalnya, saya amat gembira melihat perubahan infrastruktur sekolah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Antaranya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Tak yang muridnya tidak ramai, hari ini keadaannya sudah berubah. Ini hasil kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa menitikberat perkembangan pembangunan sekolah ini,” katanya pada Majlis Sambutan Kuih Bulan dan Hari Kanak-kanak SJCK Su Tak, hari ini.
Beliau berkata, kewujudan gelanggang berbumbung yang dibina kerajaan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekolah itu juga memberi manfaat kepada pelajar dan guru sekali gus membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti.
Malah katanya, kewujudan kemudahan itu memainkan peranan penting dalam membentuk suasana pembelajaran yang positif dan berkesan.
“Saya juga menggesa PIBG agar terus memainkan peranan mereka bagi meningkatkan kualiti pendidikan selain mencapai objektif pendidikan yang lebih berkesan.
“PIBG turut menyumbang kepada pembentukan suasana pendidikan yang lebih holistik dan menyeluruh, memberi impak positif pada perkembangan akademik serta sahsiah pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan geran khas RM 5,000 kepada SJKC Su Tak untuk melaksanakan aktiviti tahunan 2025. – TVS