SUBANG JAYA, 26 Okt: Hospital UCSI menjalinkan kerjasama dengan MahsuriShark Gallery dengan memanfaatkan seni bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan mental dalam kalangan pesakit.
Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, karya seni lukis daripada galeri itu akan dipamerkan di beberapa hospital dan klinik seluruh negara untuk menyediakan suasana lebih selesa buat pesakit dan pelawatnya.
Menurutnya, Hospital UCSI Springhill di Port Dickson adalah antara hospital yang mempamerkan seni lukisan yang dihasilkan oleh anak seni lukis Sarawak dan pemilik galeri, Mahsuri Sharkawi.
“Pada saya, seni dapat membantu (mengurus) tekanan dari segi kesihatan mental.
“Kami mahu membina persekitaran hospital yang lebih menenangkan, bukan seperti suasana hospital biasa. Seni menjadikan hospital kurang menakutkan, lebih menyenangkan kepada orang ramai,” katanya.
Noor Hisham berkata demikian ketika ditemui TVS pada Pameran Seni Solo MahsuriShark di Dorsett Grand Subang, di sini hari ini.
Menurutnya, lukisan yang dipamerkan di ruangan Hospital UCSI adalah terbuka untuk dibeli menerusi kod QR.
Peratusan jualan akan disumbang kepada badan amal pilihan hospital serta kepada individu yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sementara itu, beliau percaya kerjasama itu juga dapat membantu Mahsuri memberikan pendedahan tentang karya seninya yang unik kepada orang ramai.
“Ini adalah situasi menang-menang yang mana kami menyediakan ruangan di hospital, klinik, pejabat dan lobi untuk Mahsuri manfaatkan ruang yang ada untuk mempamerkan karyanya.
“Pihak hospital juga berbangga kerana mempamerkan hasil seni anak tempatan, tidak perlu membeli lukisan orang luar,” ujarnya. -TVS