GEORGE TOWN, 26 Okt: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mengalami kecederaan parah selepas terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat tujuh sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu disedari oleh neneknya apabila melihat mangsa tersangkut di bumbung konkrit tingkat tujuh bangunan tersebut.
Menurutnya, kejadian itu dikatakan berlaku semasa nenek mangsa berusia 63 tahun sedang berada di dalam bilik air.
“Kanak-kanak itu dikatakan terjatuh dari tingkap di bilik tidur utama.
“Pemeriksaan mendapati katil di dalam bilik itu terletak berhampiran tingkap,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Swee Sake, mangsa yang parah sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang di sini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – TVS